PERSATUAN PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA MALAYSIA
MALAYSIAN TOWN & COUNTRY PLANNING OFFICERS ASSOCIATION
1
 
LAMAN UTAMA
   Berita
   Perutusan Presiden
MENGENAI KAMI
JAWATANKUASA
BIRO
AKTIVITI
KEAHLIAN
HUBUNGI KAMI
T E R K I N I
 
 
28.12.2014
1

1
 
PERSADA DeKinabalu Trip 2014
1
Catatan ketua Ekspedisi : Mr Talip Rahman

Ilham saya untuk menulis sesuatu artikel adalah terlalu subjektif. Entah kali ini agak malas menyusun bait-bait ayat, malah jauh sekali melakar peta mental sebagai draf sebelum sesuatu penulisan dikarang. Penulisan kali ini juga tidak menyediakan kerangka sebagai panduan penulisan agar saya tidak melencong jauh. Tapi, tak apalah, cukup sekadar ada sedikit untuk tatapan kalian.

PERSADA telah menganjurkan beberapa program bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia, 2014. Salah satu program tersebut adalah misi menawan puncak kinabalu. Boleh dikatakan pada mulanya, ramai rakan-rakan berminat untuk menyertainya, dan ada yang menyimpan hasrat untuk mendaki bersama. Syabas! Penyertaan dibuka sekitar Mei 2014, tetapi, penyertaan yang agak ramai diawal promosi semakin berkurang bila menghampiri tarikh pendakian. Daripada sembilan penyertaan, hanya dua orang peserta dari kumpulan tersebut yang tinggal. Detik getir saya laluinya dengan sabar. Akhirnya trip yang sepatutnya dijalankan pada 5 hingga 9 Disember 2014 terpaksa dibatalkan.

Dua orang peserta yang tinggal saya gabungkan bersama kumpulan dari Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) seramai 16 orang dan trip ini dinamakan sebagai Dekinabalu Trip 2014 anjuran bersama PERSADA dan Local Agenda 21 MPKK bersempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2014 yang dijalankan pada 23 hingga 27 Disember 2014. Alhamdulillah, ianya dipersetujui oleh pihak atasan.

Misi menawan puncak kinabalu kali ini agak sedikit goyah apabila lebih daripada separuh peserta tidak menjalankan latihan intensif mahupun sebarang aktiviti sukan bagi menguatkan fizikal atau persediaan sebelum mendaki. Akibatnya, saya sendiri mengalami kecederaan yang tidak dijangka dan ianya agak serius pada satu tahap apabila kedua-dua lutut dan pegelangan kaki saya sakit dan terasa kebas apabila berada di aras ketinggian lebih 3,000 meter terutama apabila melalui Pondok Layang-Layang.

Sebelum pendakian bermula pada 24 Disember 2014, sarapan pagi telah disediakan di Restoran Balsam, Kinabalu Park. Untuk pengetahuan semua, kali ini pakej pendakian mewajibkan peserta untuk menginap di dalam kawasan Kinabalu Park. Makan tengah hari, makan malam pada 23hb, sarapan pagi pada hari kedua adalah termasuk dalam pakej. Sebab itulah, harga pakej kali ini mahal sedikit berbanding tahun-tahun sebelum.

Setelah mengalas perut, kami seramai 18 orang dari pelbagai latar belakang menuju ke pintu pendakian iaitu Timpohon Gate sekitar jam 8.30 pagi. Taklimat ringkas di berikan oleh mountain guide kami iaitu En. Abdul Hanin. Seperti biasa, peserta perlu melalui Summit Trail yang lebih mudah berbanding Mesilau. Kami memulakan pendakian dari aras 1,830 meter (Timpohon Gate) dan perlu sampai ke Gunting Lagadan di mana tempat menginap kami pada hari itu sebelum malam. Alhamdulillah, cuaca menyebelahi kami, tiada hujan mahupun panas terik.

Pada mulanya, ramai yang teruja kerana kali pertama menjejak kaki di sini. Sekitar jam 8.40 pagi, setelah doa dibacakan oleh saudara Rahim kami memulakan langkah. Kumpulan kami terpisah, ada yang bergerak pantas dan ada juga yang bergerak secara santai. Kali ini, saya dan beberapa orang yang lain, bergerak agak perlahan kerana kaki sudah pun terasa sakit. Langkah semakin perlahan apabila memulakan pendakian setelah berehat di setiap pondok yang dilalui.

Semasa dalam perjalanan, kumpulan pertama telah sampai di Laban Rata, iaitu restoran untuk makan malam dan juga tempatan penginapan peserta. Mereka adalah pasangan suami isteri Zuraida (MPKK) dan Fairus, daripada masej yang diterima, mereka sampai seawal 1.07 petang. Seterusnya, dan diikuti 3 orang yang lain Badrulhisham (MPKK), Yusri (MPKK), dan Khairi (MPSPK). Keluarga Tuan Haji Yazid (TM Berhad) bersama isteri (Hjh Ishahani) dan anak kembarnya (Hakim dan Hadi). Dan akhirnya barulah saya dan beberapa yang lain sampai sekitar 4.30 petang. Kami terpaksa mengambil makan malam awal kerana, penginapan kami jauh sedikit daripada Laban Rata iaitu 5 hingga 10 minit mendaki iaitu Gunting Lagadan. Saya difahamkan, Hakim dan Hadi telah mengalami muntah-muntah dan sakit kepala, dan saya percaya mereka mengalami AMS. Saya meminta supaya mereka mengambil ubat dan berehat sebelum pendakian pagi esok. Alhamdulillah, mereka berdua sama-sama peserta lain meneruskan misi menawan puncak keesokan paginya.

Kesokan paginya, sebelum meneruskan penadakian, seperti biasa doa dibacakan bagi meminta perlindungan daripada mala petaka bahaya serta cuaca buruk oleh Saudara Rahim setelah sedikit taklimat keselamatan yang disampaikan oleh En Ishak (pembantu En. Hasnin). Perjalanan bermula sekitar 2.40 pagi, dan kami merupakan kumpulan terakhir memulakan perjalanan. Peserta perlu tiba dipuncak sebelum matahari terbit sekitar pukul 6 pagi. Ini membolehkan peserta merakam pergerakan arora cahaya matahari sewaktu terbit fajar.

Setelah mendaki tangga yang sangat tinggi (700 meter pertama), peserta tiba di kawasan berbatu granit yang berbentuk gerigi. Kali ini tiupan angin sangat kuat dan kerap berbanding trip tahun lepas (2013). Ini menyukarkan lagi penafasan sesetengah peserta ditambah pula suhu yang agak rendah iaitu sekitar 7oc. Mulai dari aras ini, peserta perlu memegang tali yang disediakan. Ini sangat penting kerana, kawasan tersebut sangat curam dan mereka tidak tahu keadaan sekeliling kerana keadaan masih gelap.

Pondok terakhir adalah Sayat-Sayat (3,810 meter). Ini merupakan pintu check point sebelum pendakian ke Low’s Peak. Kumpulan kami sampai di pondok ini sekitar jam 4.00 dan 5.00 pagi. Selepas pondok ini, peserta berjalan dengan berhati-hati kerana tiupan angin yang kuat dan jalan batu granit yang licin. Dari jauh, kelihatan bayangan South Peak, Donkey’s Ears dan beberapa lagi puncak yang saya sediri sudah lupa namanya. Beberapa peserta lain mengambil kesempatan solat subuh apabila sampai di satu dataran yang luas dan terdapat beberapa takungan air untuk berwuduk.

Dengan berbekal tenaga yang berbaki, kami meneruskan perjalanan pendakian sehingga ke Low’s Peak iaitu puncak tertinggi Gunung Kinabalu (4,095.2 meter). Akhirnya, perjalanan kami sampai ke destinasi di tuju sekitar jam 6.00 pagi. Alhamdulillah. Suhu ketika ini adalah 4oc. Malangnya, disebabkan kabus dan awan yang tebal, kami tidak dapat merakamkan detik-detik matahari naik. Cuma yang sempat adalah beberapa keping kenangan yang sempat dirakam melalui kamera telefon pintar.

Semoga ekspedisi seperti ini dapat diteruskan lagi bukan sahaja untuk menguji ketahanan fizikal malah ianya dapat mengajar kita erti kesabaran, tidak berputus asa, menanam semangat dan jiwa yang kental serta mewujudkan semangat berpasukan yang utuh yang perlu ada di dalam diri kita bagi menempuh perjalanan hidup yang penuh mencabar.

 

 
 
 
 
1
Copyright © 2014.All rights reserved. Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa Malaysia