1
 
Perutusan Presiden
 

PERUTUSAN TUAN PRESIDEN, PERSATUAN PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA MALAYSIA (PERSADA) SESI 2015/2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Syukur kehadrat Allah yang telah mengizinkan pemilihan dan perlantikan barisan kepimpinan baru PERSADA bagi sesi 2015/2017 berjalan dengan baik. Mesyuarat Agung PERSADA kali ke XX telah pun berlangsung dengan jayanya pada 12hb. Mac 2015 di Hotel DePalma, Shah Alam. Penghargaan diberikan kepada Y.Bhg. Datin Paduka Dr. Dahlia Binti Rosly selaku Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia merangkap Penaung PERSADA di atas kesudian Y.Bhg. Datin Paduka Dr. datang untuk merasmikan AGM PERSADA kali ke XX. Saya mengucapkan ribuan penghargaan kepada barisan kepimpinan PERSADA bagi sesi 2013/2015 yang lepas kerana bersungguh-sungguh dan komited menjalankan pelbagai program dan memperkukuhkan peranan PERSADA. Saya juga mewakili barisan kepimpinan yang lain merakamkan terima kasih di atas kepercayaan semua Ahli PERSADA yang telah memilih barisan kepimpinan yang baru bagi meneruskan usaha ke arah memertabatkan peranan PERSADA khususnya dan Skim Perancangan Bandar dan Desa dalam sektor awam, amnya. Saya menganggap ini bukan lah sebagai satu keistimewaan bagi barisan kepimpinan PERSADA yang baru, tetapi saya melihat lebih kepada amanah dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dan diterjemahkan untuk kepentingan semua ahli.

Mesyuarat PERSADA Bil.1/2015 telah menggariskan dan menyusun program dan halatuju persatuan untuk terus memperjuangkan perkara-perkara yang masih tertangguh dan merangka program untuk meningkatkan kerjaya dan profesionalisme skim pegawai perancangan bandar dan desa dalam sektor awam di Malaysia. Saya dan barisan AJK yang lain berjanji akan terus berusaha untuk meletakkan skim perancangan bandar dan desa dalam sektor awam setaraf dengan lain-lain profesion profesional dan menikmati pelbagai kebaikkan melalui setakat mana peranan dan ruang lingkup persatuan diberi kuasa dalam Perlembagaan PERSADA. Di samping itu, di dalam mesyuarat PERSADA pertama itu juga, barisan AJK telah bersetuju untuk menaikkan kadar bayaran beberapa keistimewaan yang diberikan kepada ahli yang layak sebagai langkah permulaan menjaga kebajikkan ahli PERSADA.

Untuk permulaan yang baik juga, Kunjungan Hormat ke atas Y.Bhg. Datin Paduka Dr. Dahlia Binti Rosly selaku Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia merangkap Penaung PERSADA telah diadakan. Dalam perbincangan itu, banyak perkara dan panduan telah diterima bersama dan perlu dijadikan halatuju PERSADA untuk lebih bersaing dengan pertubuhan profesional yang lain. Antara intipatinya ialah :

  1. Mencadangkan agar ahli PERSADA yang layak diberikan peluang untuk menjadi ahli Perancang Berdaftar di bawah Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM).
  2. Memperjuangkan kenaikan pangkat secara “time-based” bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Perancang Bandar dan Desa.
  3. Memperjuangkan elaun Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) diberikan kepada Pegawai Perancang Bandar dan Desa.
  4. Bersama-sama dengan pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia akan cuba memberikan latihan kepada ahli-ahli demi imej dan masa depan Negara.
  5. Mencadangkan agar Skim Perkhidmatan Pegawai Perancang Bandar dan Desa ini diletakkan terus dibawah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.

Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli dan akan cuba terus komited dan bersungguh-sungguh untuk memastikan segala program dan aktiviti yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya dan saya juga mengharapkan komitmen dari semua ahli PERSADA untuk bersama-sama turut menjayakannya. Saya sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan pendapat ahli PERSADA bagi memastikan PERSADA terus relevan dan menjadi pertubuhan yang disegani dan dihormati.  Akhir sekali ‘PERANCANG PEMANGKIN, UKHWAH TERJALIN’.

 

Presiden PERSADA 2015/2017

1
Copyright 2014.All rights reserved. Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa Malaysia