100 TAHUN PERANCANG BANDAR MALAYSIA

Putrajaya 29hb. Mei 2020
oleh AJK PERSADA

Secara umumnya, profesion Perancang Bandar dan Desa kurang dikenali oleh masyarakat Malaysia berbanding profesion yang lain seperti Jurutera, Arkitek, Doktor, ataupun Peguam. Namun profesion inilah sebenarnya yang menjadi tulang belakang didalam mencorak pembangunan negara sama ada di bandar mahupun di desa, dan lipatan sejarah telah membuktikan kepentingan profesion ini kepada negara.

Profesion ini secara rasminya berada di tanah Melayu pada tahun 1921, dengan kehadiran seorang Goverment Town Planner, Charles Reade dari Kerajaan Australia Selatan sebagai Pegawai Perancang Bandar yang pertama di Tanah Melayu. Tugasan utama beliau pada ketika itu adalah membuat perancangan, susunatur dan penempatan semula aktiviti-aktiviti guna tanah di Kuala Lumpur antaranya penempatan kuarters Kerajaan dan perumahan awam di Jalan Imbi, penempatan Sekolah Victoria Institution, pelebaran Sungai Klang dan juga pelebaran jalan-jalan utama di Kuala Lumpur melalui penubuhan Enakmen Perancangan Bandar 1923.

Enakmen tersebut kemudiannya digubal dan digantikan dengan Enakmen 1927 yang memperkukuhkan peringkat Sanitory Board dan memperkenalkan jawatan baru Town Planning Suprintendent yang ditempatkan di negeri dan Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat.

Bandar baru terancang pertama di Tanah Melayu dan juga Asia telah di bina oleh Town Planner, Charles Reade pada tahun 1926 iaitu di Kuala Kubu Bharu dengan konsep “Garden City” daripada Ebenezar Howard. Ia merupakan konsep pembangunan bandar terancang yang ideal pada era itu. Pembangunan bandar baru ini ekoran daripada berlakunya beberapa siri banjir besar di bandar lama di Ampang Pechah pada ketika itu.

Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah digubal dan diwartakan pada 25 Mac 1976 untuk pengawalan dan pengawalselian perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia mengikut Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, yang membawa maksud untuk memastikan persamaan undang-undang dan dasar serta peraturan yang sempurna, bagi perancangan bandar dan desa dalam kawasan pihak berkuasa tempatan dalam negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Akta ini menjadi punca kuasa kepada PLANMalaysia untuk memacu perancangan pembangunan negara.

#100PBM