Previous Next

BUKU PERANCANGAN BANDAR DARI PERSPEKTIF ISLAM

Putrajaya 21hb Jun 2021
Berita

Kredit kepada :
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)@PLANMalaysia

*R&D's BOOK REVIEW 03/2021*

*PERANCANGAN BANDAR DARI PERSPEKTIF ISLAM*

Oleh Azila Ahmad Sarkawi & Prof Dato‘ TPr Dr. Alias Abdullah, 2012

Buku Perancangan Bandar Dari Perspektif Islam mempunyai nilai tersendiri, di mana ia menggariskan aspek spiritual dan keagamaan dalam perancangan bandar yang merupakan teras dalam perancangan dan pembangunan fizikal. Aspek spiritual dan fizikal harus berjalan seiring ke arah mewujudkan perancangan dan pembangunan mampan. Perkara ini merupakan usaha untuk mewujudkan bandar yang selari dengan tuntutan Islam, sekali gus mendapatkan keberkatan Ilahi.

Buku ini mengandungi 11 bab yang digarap oleh para pemikir agama dari institusi penting di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam di Malaysia (JAKIM), pejabat mufti, para akademik dan pengamal perancangan bandar.

Bab pertama buku ini mengulas secara mendalam tentang perancangan bandar sebagai ibadah yang mengadunkan antara ketinggian akhlak, ilmu dan kebendaan di dalam merancang keselesaan kehidupan manusia yang merupakan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya melalui ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Seorang perancang bandar perlu merancang bandar, pekan dan kampung dengan persekitaran dan reka bentuk yang menjamin keselesaan penghuninya di samping menyediakan peluang pekerjaaan sebagai sumber rezeki. Maka apa yang dirancang itu kelak bukan sahaja membolehkan keuntungan fizikal untuk kehidupan insan, bahkan perancangan fizikal yang membawa manusia mendekatkan diri dengan Tuhan.

Bab 2 menerangkan Bandar Islam sebagai pelaksanaan syiar Islam yang menitikberatkan kedua-dua aspek spiritual dan fizikal di dalam tadbir urus bandar. Penekanan lebih diberikan kepada aspek kerohanian kerana perkara itu akan melahirkan aspek fizikal. Di dalam agama Islam, ibadat yang dilakukan bukan hanya terhad pada isu sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja tetapi juga merangkumi aktiviti ekonomi, sosial dan politk. Islam juga mengambil kira soal kebersihan tempat dan perkara-perkara yang menyentuh urusan kehidupan manusia seperti penyediaan kemudahan infrastruktur dan awam serta keperluan sosial yang lain.

Ini diikuti dengan Bab 3, 4 dan 5 yang mengulas tentang falsafah reka bentuk dan perancangan bandar yang berpegang teguh kepada reka bentuk sejagat dengan menekankan konsep hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.

Etika orang awam dan pihak berkuasa tempatan dalam sesi penyertaan awam diterangkan di Bab 6. Tindakan perlu diambil berdasarkan prinsip keberkatan dan nilai sebagai seorang yang berpegang teguh kepada agama Islam supaya mempunyai niat yang jelas, ilmu yang mantap, interaksi dan komunikasi secara hikmah, pernyataan dan keputusan bersandarkan matlamat syarak dan undang-undang.

Bab 7 menghuraikan urus tadbir kerajaan tempatan dari perspektif Islam, pentingnya ilmu pengetahuan dan kawalan diri untuk mematuhi undang-undang dan syarat-syarat di dalam menjalankan tanggung jawab supaya keputusan yang dibuat dapat memelihara kepentingan awam dan hak individu.

Bab 8 mengulas tentang kepentingan kesederhana dan perseimbangan alam semula jadi yang harus dijadikan pedoman untuk menghasilkan perancangan yang lebih berkesan ke arah pembangunan komuniti sejahtera, yang berpegang teguh kepada

Konsep pembangunan sejagat sebagaimana di Bab 3 dan Bab 4. Konsep perpaduan, kesamarataan dan persefahaman yang digarap oleh Rasulullah SAW untuk menyatu padukan penduduk Kota Madinah diterangkan di Bab 9. Konsep ini telah dijadikan sebagai garis panduan untuk membina dan memupuk semangat perpaduan di dalam pembentukan masyarakat Madani.

Bab 10 dan 11 menitik beratkan perancangan bandar yang inklusif untuk masyarakat dengan mengambil kira penyediaan kemudahan kepada semua golongan sama ada orang kurang upaya, warga emas, kanak-kanak, ibu bapa dan golongan remaja.

Buku ini boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada para profesional dan masyarakat awam dalam merealisasikan prinsip-prinsip Islam dalam perancangan bandar. Buku ini dapat memandu arah terhadap perancangan bandar yang holistik, sekaligus membantu pihak-pihak yang terlibat melaksanakan tugas mereka sebagai khalifah yang memakmurkan bumi.

Diulas oleh: Lelawati@Normadiah binti Ismail

Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)@PLANMalaysia
21 Jun 2021