Puan Presiden 2017-2019

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Negaraku Malaysia.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana atas rahmat-Nya kepada kita semua, saya telah diberi kepercayaan dan juga amanah untuk menerajui PERSADA selaku Presiden bagi sesi 2017-2019 ini. Bermula daripada penubuhannya pada tahun 1991 ke arus terkini, PERSADA akan terus memperjuangkan dan memenuhi aspirasi penubuhannya ~ menjaga kebajikan ahlinya yang terdiri daripada Pegawai Perancang Bandar dan Desa dalam Sektor Awam dan meningkatkan lagi imej bidang perancangan bagi memastikan perkhidmatan perancangan bandar dan desa kekal relevan sebagai salah satu pemboleh terpenting dalam pembangunan negara.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Apa yang kita kecapi hari ini merupakan hasil perancangan rapi dan gerak kerja semua pihak. Ucapan terima kasih, penghargaan dan rasa hormat saya buat semua Presiden terdahulu atas rekod khidmat cemerlang memimpin PERSADA ke tahap ini khususnya kepada barisan ahli jawatankuasa PERSADA sesi 2015/2017 yang dipimpin YBhg. Tuan Haji Lokman bin Omar.

Objektif PERSADA selain daripada untuk menjaga kepentingan dan kebajikan ahlinya, yang paling penting ialah untuk menyatu semua Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Sektor Awam dan menyalurkan ilmu dan kepakaran mereka supaya mampu mencipta sesuatu yang baru dan menjadi ‘champion’atau pakar rujuk dalam sesuatu perkara terutamanya aspek perancangan dan pembangunan. Mentelahan lagi dengan cabaran-cabaran dan persaingan dari profesion lain yang turut mendakwa mampu menjalankan tanggungjawab yang sekian lama dilakukan oleh kita.

Hanya kita yang mengetahui kekuatan kita; kitalah yang bertanggungjawab untuk meyakinkan semua pihak yang terlibat dalam perancangan pembangunan bahawa profesyen kita dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah ekslusif untuk kita dan tidak mampu digalas oleh profesyen lain. Kewujudan semua profesyen yang terlibat dalam aktiviti pembangunan sesebuah Negara adalah untuk saling melengkapi kepakaran masing-masing, bukan untuk menjadi ‘hero’ dengan menafikan kepakaran orang lain. Kata kuncinya adalah SALING MENGHORMATI.

Penyatuan ahli akan menjadi agenda utama dan teras pergerakan PERSADA yang akan datang. Hanya dengan kesepaduan yang jitu, barulah suara profesionalisme kita akan didengari. Hasrat kita ialah untuk meletakkan PERSADA setaraf dengan persatuan-persatuan profesionalisme yang lain.

Sebagai Presiden PERSADA, amat besarlah hasrat saya untuk mendapatkan sokongan padu daripada semua ahli untuk bekerjasama dan berganding bahu terutamanya dengan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Sem. Malaysia) bagi memastikan profesion perancang bandar dan desa ini berada ditahap tertinggi dan disegani.

Perjuangan harus diteruskan. Apa yang penting ialah kesepakatan dan permuafakatan ahli. Matlamat saya ialah untuk memastikan keseluruhan 100% penjawat awam skim Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Malaysia menjadi ahli PERSADA. Dengan kesepakatan ini akan memudahkan PERSADA untuk bekerjasama dengan mana-mana institusi dan agensi berkaitan kerana PERSADA mempunyai pengaruh yang besar dari peringkat persekutuan hingga ke peringkat Kerajaan Tempatan. PERSADA juga akan menyediakan platform bagi pengembangan profesyen ahli-ahlinya dengan penyaluran peluang-peluang kursus yang berkaitan sama ada di dalam atau di luar negara.

Selain dari itu kita akan memperbanyakkan program-program kolaborasi bersama-sama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) selain daripada menjalinkan hubungan dengan rakan-rakan strategik yang akan dikenalpasti nanti. Ini secara tidak langsung akan mempertingkat tahap visibility profesion Perancang Bandar dan Desa dan seterusnya PLANMalaysia dan MIP. Untuk itu, AJK khususnya harus bersedia mempersiapkan diri dengan memberi komitmen yang bersungguh-sungguh untuk terus kehadapan bagi membina legasi ini.

Saya ingin menyeru seluruh ahli PERSADA untuk menanamkan prinsip dalam diri untuk berkerja dan berkhidmat untuk sesuatu perkara yang memberi manfaat kepada semua. Bila berkerja atau melakukan sesuatu biarlah hingga terasa di hati, bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

Saya yakin, dalam sanubari setiap kita, ada rasa kepunyaan dan kecintaan yang mendalam terhadap profesion Pegawai Perancang Bandar dan Desa. Maka, terjemahkan ia. Lahirkan dan tunjukkan kecintaan tersebut dengan menjadi ahli yang aktif di dalam PERSADA yang merupakan satu-satunya saluran untuk kita memperjuang profesion ini. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab, suara dan hak ke atas PERSADA, tunaikanlah tanggungjawab itu!

Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih dan tahniah kepada barisan AJK baru sesi 2017/2019 dan juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pergerakan PERSADA setakat ini. Saya juga amat mengharapkan kerjasama berterusan khususnya daripada para ahli PERSADA bagi merealisasikan impian mewujudkan satu komuniti mampan yang prihatin dan bertanggungjawab serta tidak bergantung harap semata-mata kepada pihak Kerajaan. Saya juga menyeru kepada semua agar terus berusaha dalam memartabatkan profesion Pegawai Perancang Bandar dan Desa agar kehadiran kita dirasai.

Jangan Tanya apa yang kita dapat DARI persatuan, tetapi semaklah apa yang telah kita sumbang KEPADA persatuan.

Sekian, Wassalam.

ROZITA BINTI HAMIT
PRESIDEN
PERSATUAN PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA MALAYSIA (PERSADA) SESI 2017/2019


 Versi English